comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kedai KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol – Ketua Polis Perak

Sidang media oleh Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh. FOTO: NSTP

BIDOR: Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di sini dibaling dengan bom petrol.

Mohd Yusri berkata kejadian berlaku pada 5.35 pagi sebelum disedari oleh kakitangan kedai serbaneka terbabit.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang wanita warga tempatan berhubung kejadian tersebut pada 8.49 pagi.

Pengadu berusia 20 tahun itu memaklumkan dia ketika itu sedang bekerja apabila dia secara tiba-tiba terdengar bunyi botol pecah di hadapan premis dan terus keluar untuk memeriksa keadaan.

“Terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai dan pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu,” katanya.

Mohd Yusri ditemui pada sidang media selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersial Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata pemburuan individu terlibat sedang dijalankan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan kita juga sedang menyiasat rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan,” katanya.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norseha Baharudin di talian 0177964459.

Rangkaian kedai serbaneka KK Mart berdepan kempen boikot ketika ini susulan keengganan pihak pengurusannya untuk menggantung kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

Ia susulan penemuan stoking dengan kalimah Allah di cawangannya di Bandar Sunway, Selangor kira-kira dua minggu lalu.

Pagi tadi, pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Tiga individu lain yang merupakan pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd selaku orang yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart juga mengakui tidak bersalah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini