comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes buli di MCKK: KPM tak akan berkompromi

LIM Hui Ying (tengah) bergambar kenangan bersama murid-murid sekolah di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee. – FOTO: Mikail Ong

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan pelajar yang terbabit dengan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak September lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, sehubungan itu pihaknya meminta waris pelajar yang menjadi mangsa buli berkenaan bersabar kerana siasatan sedang dijalankan.

“Kita faham perasaan ibu bapa mangsa dan berharap mereka dapat bersabar sementara siasatan dijalankan. Kita juga bersikap terbuka jika keluarga mangsa mahu berjumpa dengan KPM bagi berbincang.

“KPM tidak akan berkompromi dengan kes ini dan semua murid adalah sama, tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri P Ramlee, Jalan Timah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM98,854 daripada peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada sekolah berkenan bagi menaik taraf gelanggang murid keperluan khas, enam buah bilik PPKI serta perabot sekolah.

Mengulas lanjut Hui Ying berkata, status kes berkenaan masih dalam siasatan polis dan KPM sudah mengambil tindakan yang sepatutnya berdasarkan surat pekeliling baharu mengenai garis panduan bagi mengatasi kes buli di sekolah.

“Seperti saranan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) tiga isu iaitu buli, gangguan seksual serta perkauman akan dihapuskan dari sekolah,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 MCKK mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian di platform media sosial selepas anaknya yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah berkenaan.

Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB), persatuan itu berkata, tindakan menularkan kes berkenaan di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah terbabit secara keseluruhan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini