comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes curi wang RM24.2 juta: 8 individu ditahan 

KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan individu berhubung kes kehilangan wang dari beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.

Terbaru, tiga individu ditahan sehingga pagi tadi di sekitar Sabah, selepas lima individu berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Perlis sejak Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata suspek di Perlis akan diterbangkan ke Kota Kinabalu untuk permohonan reman dan siasatan lanjut.

“Kita percaya akan ada lebih banyak lagi tangkapan dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas lapan suspek yang ditahan.

“Selain memberi fokus kepada siasatan, usaha mendapatkan kembali wang yang dilaporkan hilang turut dilakukan,” katanya kepada BH hari ini.

Ramli berkata tujuh tangkapan yang dilakukan di Sabah terdiri daripada ahli sindiket serta kakitangan bank.

“Setakat ini seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berhubung kes pecah amanah pada 2011.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan,” katanya.

Sabtu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam satu kenyataan memaklumkan penahanan seorang wanita pegawai sebuah bank di Kota Kinabalu, berhubung kes kehilangan wang dari akaun simpanan pelanggan bank berkenaan berjumlah RM24.2 juta pada 13 Jun lalu.

Sehari kemudian JSJK menahan seorang lelaki yang dipercayai mendalangi sindiket yang terbabit dalam kejadian ini.

Ramli berkata siasatan awal polis mendedahkan terdapatnya pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan dengan ‘bantuan’ dalaman bank.

Loading...
Terkini