comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes warga Israel: Polis buru beberapa individu lagi

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan lebih daripada dua individu warga tempatan dan asing yang dipercayai ada kaitan dengan warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan bersama enam pistol dan 200 butir peluru minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka dipercayai ada kaitan dengan pemilikan senjata api oleh suspek.

“Dalam siasatan ini juga kita masih lagi ada (suspek lain), radar kita untuk kita menangkap lebih daripada dua orang.

“Ada yang (warga) tempatan dan ada asing, (ia) kaitan dari segi pemilikan senjata api,” jelasnya.

Tambah Razarudin, ketika ini pihak polis masih menyiasat dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan suspek adalah pengintip.

“Buat masa ini warganegara Israel, kita buka satu kertas siasatan dan warganegara Malaysia kita buka satu kertas siasatan.

“Adakah dia pengintip? Kita masih (siasat) ke arah itu, sudut siasatan kita juga pelbagai, kita perlu mengetahui motif dahulu sekurang-kurangnya.

“Sekiranya ada pengangkuan tangkapan itu sendiri, atau ada maklumat lain yang kita dapati daripada luar, dan untuk kita pastikan motif itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada petang Isnin.

Mengulas mengenai senjata api yang dirampas, jelas Razarudin, siasatan lanjut mengesahkan senjata api itu didapati dari negara jiran.

Malah suspek jelasnya, dipercayai membayar lebih RM10,000 untuk setiap sepucuk pistol kepada pasangan warga tempatan yang ditahan.

“Pihak polis mendapati, suspek membayar kedua pasangan warga tempatan yang ditahan sebelum ini lebih RM10,000 bagi setiap sepucuk pistol.

“Suspek juga buat pasport Perancisnya di Tel Aviv dan alamat pasportnya di sana,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, suspek warga Israel dan pasangan warga tempatan itu masing-masing direman sehingga 7 hingga 5 April depan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

27 Mac lalu, suspek berusia 36 tahun itu ditahan polis bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Suspek dipercayai memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendakwa datang ke Malaysia untuk membunuh rakan senegaranya kerana masalah keluarga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini