comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] PDRM siasat lelaki warga Israel jadi koordinator rancang jenayah di negara ini

 

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Siasatan polis terhadap lelaki warga Israel yang ditangkap bersama enam pucuk senjata api dan 200 butir peluru di ibu negara Rabu lalu, turut menjurus terhadap peranan suspek, sama ada sebagai koordinator untuk merancang melakukan jenayah di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini motif sebenar suspek membeli senjata api dan peluru dalam kuantiti banyak masih dalam siasatan.

Ketika dihubungi Buletin TV3, Tan Sri Razarudin berkata, walaupun suspek mengaku datang ke negara ini untuk membunuh seorang individu senegara dengannya, namun belum diketahui kesahihan dakwaan itu atau sama ada dia diupah untuk berbuat demikian.

Ini kerana jelas beliau, siasatan rapi masih dilakukan untuk mengetahui tujuan sebenar suspek membeli enam pucuk senjata api dan 200 peluru sedangkan sasarannya hanya seorang individu.

Berhubung tangkapan pasangan suami isteri warga tempatan semalam yang menjual senjata api tersebut, Tan Sri Razarudin mengesahkan, ia diperoleh dari negara jiran namun harga yang dibeli masih dalam siasatan.

Polis turut merampas sepucuk senjata api dalam serbuan di Kuala Selangor malam tadi.

Polis katanya, akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen bagi menyiasat ketulenan dua pasport milik suspek yang dirampas.

Dalam sidang media semalam, Tan Sri Razarudin berkata, seorang lelaki warga Israel berusia 36 tahun ditahan di sebuah hotel di ibu negara, bersama sejumlah senjata api dan peluru.

Suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pada 12 Mac lalu, menggunakan pasport negara Perancis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini