comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kilang produk kecantikan diserbu, guna logo halal palsu 

ALOR SETAR: Sebuah kilang memproses produk kecantikan di Pokok Sena diserbu dalam operasi bersepadu semalam kerana dipercayai menggunakan logo halal palsu dengan rampasan membabitkan lebih RM1.3 juta.

Operasi bersepadu itu dilakukan 11 pagi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima berikutan penggunaan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk kecantikan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan semalam itu membabitkan seramai 14 anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar dan tiga pegawai Bahagian Pengurusan Halal, JHEAIK.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu bukanlah pemegang Sijil Halal yang diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (Main).

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis mendapati premis ini dipercayai menggunakan logo halal palsu pada setiap label pek bungkusan di pelbagai jenis produk keluaran syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, tindakan kes diambil mengikut Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 dengan nilai rampasan keseluruhan RM1,336,499.60.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini