comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kononnya Jual Daging Rusa, Rupanya Daging Kerbau

PUTRAJAYA: Padah menjual daging kerbau kononnya daging rusa, sebuah premis menjual secara dalam talian di Sungai Buloh, Selangor diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42.00 sekilogram.

KPDNHEP menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas seorang peniaga yang disyaki menjalankan perniagaan dan promosi secara dalam talian produk daging rusa melalui satu platform e-dagang.

“KPDNHEP menerima aduan daripada seorang pengguna berkaitan daging tersebut disyaki bukan daging rusa sebenar seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit di dalam platform perniagaan dalam taliannya. 

“Bertindak ke atas aduan itu, KPDNHEP menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa tersebut dan sampel daging rusa itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan ke atas sampel daging rusa terbabit.

“Hasil laporan kimia yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati, sampel daging rusa tersebut adalah merupakan daging kerbau berdasarkan DNA yang dikesan melalui sampel itu dan bukan daging rusa seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit kepada pengguna melalui perniagaan dalam taliannya.

“Susulan daripada laporan tersebut, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP telah bertindak melakukan serbuan ke atas premis terbabit di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor. Hasil pemeriksaan itu, pasukan serbuan telah menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis di dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat 1 kilogram setiap satunya.

“Kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.

Kes disiasat bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011”.

Loading...
Terkini