comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPDNHEP Kedah Tumpas Penyelewengan Diesel Bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah tumpaskan aktiviti penyelewengan bahanapi diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri, Padang Serai Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

KULIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan bahanapi diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri, Padang Serai Kedah.

Pengarah KPDNHEP negeri Kedah, Affendi Rajni Kanth berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah lori muatan 16 tan yang sedang mengisi minyak diesel di sebuah stesen minyak, mendapati lori tersebut membawa muatan sebuah tangki tambahan berkapasiti 4,000 liter. 

“Minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan akan disedut naik menggunakan pam ke dalam tangki tambahan tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP,” katanya.

“Pemandu lori berumur 40 tahun ditahan untuk soal siasat, dan hasil siasatan mendapati minyak tersebut dibeli daripada stesen-stesen minyak sekitar Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan Padang Serai Kedah.”

Affendi menambah, minyak diesel itu dipercayai akan dijual semula dengan harga industri kepada pembeli daripada sektor industri atau diseludup ke Negara Thailand.

Semasa serbuan jumlah minyak yang sempat diisi lebih kurang 2,719 liter dengan nilai RM5,573. 

Kesemua minyak tersebut dirampas termasuk sebuah lori 16 tan yang memuatkan tangki tambahan berisi minyak diesel.

Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM30,573.

Kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan dan dibaca bersama di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali dibawah satu lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4.

Loading...
Terkini