comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket penyeludupan: 10 penjawat awam termasuk seorang wanita direman empat hari

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seramai 10 penjawat awam yang disyaki menerima rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Sabtu ini terhadap sembilan suspek lelaki dan seorang suspek wanita itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan bersama lima lagi individu ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakam keterangan petang semalam.

“Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Samba 2.0 dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Isnin minggu lalu.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain antara tahun 2017 hingga 2023,” katanya.

Susulan tangkapan itu, AML SPRM turut merampas barangan seperti telefon bimbit serta membekukan akaun bank kesemua suspek.

Sebelum ini, AML SPRM berjaya menangkap dan menahan reman 11 individu termasuk lima penjawat awam.

Modus operandi sindiket termasuk menggunakan khidmat ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan kargo berisi arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket berkenaan juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Sindiket tersebut dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Selain itu, sindiket menggunakan hasil penyeludupan dengan membuat pembelian hartanah.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Lima suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini