comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki dicekup, baling batu dekat kereta jiran 

Foto hiasan

AMPANG: Polis menahan seorang lelaki yang melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu sehingga cermin kereta milik jirannya pecah di Taman Muda, di sini, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail polis menerima laporan kejadian itu pada 4 Januari lalu.

“Dalam kejadian jam 5 petang, pengadu mendakwa suspek membaling batu ke arah kereta Toyota Avanza milik pekerjanya menyebabkan cermin pintu kiri pecah dan cermin sisi patah.

“Kejadian itu menyebabkan pemilik mengalami kerugian kira-kira RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek berusia 33 tahun di Taman Muda di sini, jam 7.20 malam pada Ahad lalu.

Beliau berkata, soal siasat mendapati ketika kejadian suspek sedang khayal kerana menghisap gam dan tidak menyedari apa yang dilakukan.

Katanya, semakan juga mendapati suspek yang tidak bekerja mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk dikehendaki polis atas kesalahan dadah.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga 11 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini