comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan ugut, titis lilin panas pada badan isteri

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood.

GERIK: Seorang lelaki ditahan kerana mengugut isterinya dengan bertindak mengasari termasuk mengikat tangan dan menitiskan cacair lilin panas pada badan wanita itu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku pada malam Sabtu lalu di rumah pasangan itu di Kampung Alai di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, 35, didatangi oleh suaminya itu ketika sedang tidur pada kira-kira jam 10.30 malam dan terus mengikat kedua-dua tangan mangsa dari arah belakang sambil memegang sebilah pisau.

Suspek, 42, berbuat demikian dengan alasan mangsa berlaku curang dan memaksa mangsa mengaku terhadap tuduhan itu.

“Suspek turut merentap rantai emas dan gelang tangan dipakai mangsa sehingga terputus selain turut mengoyakkan baju serta menitiskan cacair lilin pada badan mangsa sambil mengugut untuk membakar isterinya itu.”

“Mangsa bagaimanapun menafikan tuduhan itu,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurut Zulkifli, mangsa berjaya melarikan diri apabila berpura-pura ingin ke tandas dengan meminta suspek untuk membuka ikatan.

“Semasa mangsa hendak ke tandas, dia menjumpai serangkai kunci kereta di bahagian dapur rumah dan terus melarikan diri dengan kereta ke balai polis berhampiran untuk membuat aduan,” katanya.

Mengikut catatan, laporan polis dibuat oleh mangsa pada kira-kira jam 1.35 pagi semalam (Ahad) di Balai Polis Kampung Lalang, di sini.

Menurut Zulkifli lagi, suspek yang masih berada di dalam rumahnya ditahan pada jam 8.30 malam semalam dan polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai digunakan suspek.

Zulkifli berkata mangsa kemudiannya pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini