comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki Maut Ditetak Rakan Serumah

Seorang lelaki maut akibat ditetak rakan serumahnya dipercayai kerana pergaduhan berpunca daripada kehilangan telefon bimbit seorang rakan mereka.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Jalan Pak Abu, Kampung Telaga Air dekat Butterworth, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima laporan kejadian pada jam 7.35 malam tadi.

“Berdasarkan keterangan saksi iaitu adik lelaki tiri suspek, dia yang tinggal di rumah bersebelahan terdengar pertengkaran mulut antara abang tirinya yang menyewa rumah itu bersama si mati dengan beberapa lagi rakan pada 7.30 malam.

“Menurut saksi, dia bagaimanapun tidak melihat pertengkaran tersebut sehinggalah nampak si mati dibawa ke pondok di hadapan rumah oleh dua rakan serumah si mati sebelum kedua-duanya menghubungi ambulans berikutan si mati cedera parah akibat ditetak,” katanya lagi.

Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan disahkan meninggal dunia pada 9.17 malam ketika menerima rawatan akibat cedera parah di betis dan jari.

Noorzainy berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di kawasan Mak Mandin jam 9 pagi tadi.

Siasatan awal menunjukkan suspek mengaku berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan antaranya dengan mangsa.

Suspek yang mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah kini direman selama seminggu.

Hasil ujian saringan awal darah mendapati mangsa positif dadah dan memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. – BERNAMA

Loading...
Terkini