comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki warga emas diperdaya hampir setengah juta pelaburan ‘forex’

Foto hiasan

SIBU: Seorang lelaki berusia 50-an kerugian RM485,320 selepas terpedaya dengan pelaburan mata wang asing di Hong Kong.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan berhubung kes itu daripada mangsa kelmarin.

“Mangsa yang dimasukkan dalam kumpulan Whatsapp pelaburan itu telah berminat dengan pelaburan awalan sebanyak RM20,000 telah memuat naik satu aplikasi perdagangan mata wang asing.

“Mangsa telah membuat 109 kali transaksi ke dalam dua akaun berasingan mulai November tahun lalu sehingga Mac tahun ini bertujuan memperolehi modal dan keuntungan sebanyak AS$127,000 yang dinilaikan hampir RM533,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudiannya diminta untuk membuat pindahan wang bagi pelbagai urusan pengeluaran wang terbabit.

“Mangsa mulai curiga apabila dikehendaki memasukan RM11,000 bagi urusan ejen pedagang datang ke Sibu untuk berjumpa dengan mangsa.

“Mangsa juga telah bertanyakan hal itu dengan peguam peribadi dan merasakan dirinya diperdaya lalu membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan kesahihan pelaburan yang dibuat.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya sekiranya dijanjikan kadar faedah pulangan yang jauh lebih tinggi daripada pulangan yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen,” tegasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini