comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Mayat bayi ditemui terapung di laut 

KOTA KINABALU: Mayat bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemui terapung di laut di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, petang tadi.Bayi malang itu ditemui jam 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.

Mayat bayi ditemui terapung tanpa pakaian di laut di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu. – FOTO: NSTP

Katanya, bayi itu ditemui terapung tanpa pakaian di laut dekat jambatan di perkampungan atas air berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada apa-apa maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

“Bayi terbabit juga disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kalsom berkata, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Setakat ini jantina bayi belum dapat dipastikan dan akan diketahui selepas bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini