comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Minuman keras, beras seludup bernilai RM378,046 dirampas Kastam Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup tiga kontena berisi minuman keras dan beras wangi yang dianggarkan bernilai RM378,046 termasuk cukai dalam dua kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu.

Rampasan itu dijalankan sepasukan anggota daripada Cawangan Siasatan Khas dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman, berkata bertindak berdasarkan hasil penilaian risiko imej imbasan mesin pengimbas di Pelabuhan Sepanggar jam 9.15 pagi pada 22 Februari lalu, pasukan serbuan membuat penahanan terhadap sebuah kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.

Katanya, hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan kastam menemui sebuah kontena mengandungi sejumlah 23,520 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM85,200 dan nilai duti serta cukai RM346,500.

“Kes kedua pada hari yang sama jam 9.30 pagi, juga bertindak berdasarkan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas, pasukan serbuan membuat penahanan terhadap dua kontena disyaki berisi beras.

“Kedua-dua kontena berisi beras ini disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir (kanan) menunjukkan beras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu. – FOTO : NSTP

Mohd Nasir berkata, hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan menemui sebuah kontena mengandungi sejumlah 20,500 kilogram (kg) beras wangi dengan nilai harga RM37,500 dan anggaran nilai duti serta cukai terbabit berjumlah RM20,250.

“Sebuah lagi kontena yang ditemui dianggarkan mengandungi sejumlah 20,500 kg beras pulut disyaki barang larangan dengan nilai harga RM35,300 dan anggaran nilai duti serta cukai terbabit berjumlah RM11,296.

“Modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah membuat pengikraran palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain seperti kacang soya dan kacang hijau bagi tujuan penyeludupan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) dan 52 Akta Kastam 1967.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini