comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Ops TIRIS: Enam ditahan, 31,000 liter diesel dirampas

 

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan enam suspek dan merampas 31,000 liter diesel dalam dua serbuan berasingan 9 April lalu, di Kawasan Perusahaan Sg. Lalang, Sg. Petani, Kedah yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi.

Hasil risikan lebih sebulan, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 8.00 pagi dan 10.30 malam.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Azman Adam dalam kenyataannya hari ini memberitahu dalam serbuan pertama di sebuah premis, 3,000 liter minyak diesel ditemui dalam sebuah tangki bersama beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Minyak diesel serta beberapa peralatan lain seperti pam bermotor, hos penyambung, flow meter dan beberapa dokumen perniagaan seperti resit dan buku rekod perniagaan disita melibatkan nilai rampasan RM34,450.

Manakala dalam serbuan berasingan, enam individu sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tangki lain di premis berkenaan.

Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori tangki membawa bahan kimia untuk mengaburi pihak berkuasa dan orang awam.

Pemeriksaan lanjut menemui 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Di premis ini, anggota penguatkuasa merampas minyak diesel, dua lori, pam bermotor, paip penyambung, telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang kesemuanya bernilai RM544,600.

Enam individu turut ditahan, tiga daripadanya rakyat tempatan berusia 24 hingga 49 tahun.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat serta rantaian pengedaran minyak diesel terbabit termasuk sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Sebanyak 1.6 juta liter minyak diesel disita di seluruh negara menerusi Ops TIRIS sejak 1 Mac 2023 sehingga 9 April 2023 melibatkan 4,054 pemeriksaan dengan nilai rampasan RM3.56 juta.

Loading...
Terkini