comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pecah amanah RM24.8 juta: Reman penolong akauntan disambung 7 hari lagi

KOTA BHARU: Penolong akauntan sebuah agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Gua Musang direman tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan kerugian RM24.8 juta.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kebenaran lanjutan reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini, semalam.

“Suspek disambung reman tujuh hari lagi bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lelaki itu sebelum ini direman bermula 27 Mei hingga semalam.

Menurut laporan media, suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan Bahagian Kewangan agensi berkenaan melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit membuat 194 transaksi daripada akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik agensi kerajaan berkenaan ke akaun syarikatnya sejak 2016 hingga Mei 2023. – BERNAMA

Loading...
Terkini