comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,500 penduduk terkandas akibat banjir

GUA MUSANG: Hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan jambatan yang menghubungkan Felda Chiku 7 dan 8, di sini, ditenggelami banjir sejak awal pagi ini.

Keadaan itu menyebabkan lebih 1,500 penduduk terkandas dan tidak dapat keluar masuk untuk meneruskan rutin harian.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati rumah penduduk dan beberapa kawasan rendah di perkampungan ini mula dinaiki air.

Ketua peneroka, Hussain Ismail berkata, sehingga kini, keadaan masih hujan  dan paras air menunjukkan trend meningkat.

Katanya, setiap tahun jambatan utama kampung mereka akan ditenggelami air apabila tiba musim tengkujuh.

“Ia menyukarkan penduduk kampung yang ingin keluar masuk atas pelbagai urusan termasuk pelajar sekolah, penduduk yang bekerja di luar serta guru yang mengajar di sekolah rendah.

“Kali terakhir jambatan ini tenggelam pada Disember tahun lalu dan ia menjejaskan kehidupan seharian penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Gua Musang, Mohd Hanafi Mohd Bokri menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan amaran banjir.

Katanya, selain jambatan di Felda Chiku 7, jambatan Kampung Kerinting turut ditenggelami air sejak malam tadi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini