comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pecah rumah, larikan kereta.. penagih ada 15 rekod lampau ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki miliki 15 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah ditahan sekali lagi selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah dekat Bandar Baru Ampang dan melarikan sebuah kereta, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan di Bandar Baru Ampang, kira-kira jam 7 malam susulan siasatan daripada aduan pemilik rumah yang juga seorang kontraktor.

“Kita terima laporan daripada pengadu, seorang lelaki berusia 28 tahun pada jam 7.30 pagi, Isnin lalu selepas mendapati pintu hadapan rumahnya dan pintu jeriji besi dalam keadaan terbuka.

“Pengadu buat pemeriksaan dan mendapati dompet mengandungi dokumen penting, wang tunai dan kunci kereta Proton Saga tiada di atas meja bahagian ruang tamu.

“Pengadu kemudian membuat semakan pada kawasan parkir dan mendapati kereta Proton Saga telah tiada disyaki dicuri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan tangkapan itu, pihaknya merampas sebuah Proton Saga, satu kunci kereta, pelbagai jenis kunci, tujuh gulung wayar dan satu dompet mengandungi dokumen penting bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah Methamphetamine dan Amphetamine. Semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau jenayah dan dadah.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan Seksyen 379A akta sama (curi kenderaan),” katanya.

Loading...
Terkini