comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pegawai pemasaran bank ditahan guna kad kredit pelanggan tanpa kebenaran

 

Foto hiasan

Oleh: Shaharil Kadir

TAIPING: Polis menahan seorang pegawai pemasaran sebuah bank disyaki terlibat dalam kes penipuan penggunaan kad kredit milik pelanggan tanpa kebenaran membabitkan kerugian berjumlah RM563,422.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid, suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di Jinjang, Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023.

Ujarnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, 16 kad kredit milik pelanggan dan 15 keping simkad.

Sebelum itu, laporan polis mengenai salah laku lelaki berkenaan dibuat seorang pengurus siasatan di bank tempatan berkenaan pada 17 Januari lalu.

Suspek dipercayai menggunakan maklumat pelanggan untuk membuat permohonan kad kredit bagi kegunaan sendiri tanpa pengetahuan dan kebenaran pihak bank.

“Pihak bank berkenaan telah mengalami kerugian sebanyak RM563,422 ekoran daripada penggunaan 18 keping kad kredit yang telah diluluskan tanpa pengetahuan pelanggan”, katanya.

Suspek telah ditahan reman selama empat hari, sehingga 3 Mac 2023, bagi membantu siasatan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini