comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pekerja Kilang, Penjual Sayur Disyaki Larikan Lelaki Ditahan

AMPANG JAYA: Dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan orang di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/23d, di sini, pada 29 September lalu, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki masing-masing berusia 37 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang, di sini, kira-kira jam 3 petang.

“Kami turut merampas beberapa pakaian, telefon bimbit milik kedua-dua suspek dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Semakan mendapati suspek berusia 40 tahun itu mempunyai tiga rekod bagi kesalahan dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai lapan rekod berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek yang bekerja kilang dan penjual sayur itu didapati negatif dadah.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 6 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 38 tahun dilarikan dengan dibawa masuk ke dalam MPV Toyota Vellfire warna putih ketika makan seorang diri di restoran berkenaan.

Mohamad Farouk dipetik berkata, semasa di dalam restoran berkenaan, sekumpulan suspek dipercayai lelaki tempatan datang kepada mangsa seterusnya menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kenderaan Toyota Vellfire berwarna putih.

Mangsa menjerit meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri namun tidak berjaya, sebelum terus dilarikan menaiki Vellfire dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya jam 10.45 malam pada 29 September lalu apabila dipercayai dilepaskan suspek di Klang selepas kejadian. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini