comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemandu mabuk langgar Siti Nurul Masyitah dibebaskan dengan jaminan polis

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Pemandu mabuk yang terbabit melanggar atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, Sabtu lalu, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru selatan, ACP Raub Selamat.

Katanya, pemandu terbabit disahkan berada di bawah pengaruh alkohol telah ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 iaitu memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pemandu terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi memiliki 7 rekod saman trafik yang gagal dijelaskan.

Ujian saringan air kencing juga mendapati pemandu terbabit bebas pengaruh dadah.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang Sabtu lalu, di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) menghala ke Kota Tinggi, Siti Nurul Masyitah yang menunggang sebuah motosikal telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang menukar haluan dari lorong tengah ke lorong kiri secara tiba-tiba.

Akibat kemalangan itu, beliau mengalami kecederaan pada bahagian bahu kanan, tulang pinggul dan likat pada bahagian kaki.

Beliau kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.

Siti Nurul Masyitah, pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan sering berulang alik dari rumahnya ke politeknik bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.

Video kemalangan yang menyaksikan Siti Nurul Masyitah diseret sejauh 100 meter turut viral di media sosial.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah dijangka melawat Siti Nurul Masyitah di hospital petang ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini