comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Atlet kayak kebangsaan parah dirempuh pemandu mabuk


JOHOR BAHRU: Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias masih menerima rawatan di Hospital Columbia Asia di Iskandar Puteri di sini selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada Sabtu lalu.

Siti Nurul Masyitah cedera parah selepas motosikal ditungganginya dirempuh dan diseret sejauh 100 meter oleh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Kemalangan jalan raya di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) membabitkan atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias pada Sabtu lalu.

Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang menerusi suatu kenyataan berkata Siti Nurul Masyitah, 22, merupakan penuntut jurusan Kejuteraan Mekanikal mengalami kecederaan serius.

Kenyataan itu mendakwa mempunyai saksi berserta rakaman kamera papan pemuka, sebuah kereta dipandu dalam keadaan melulu sebelum merempuh Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 100 meter.

Pemandu kereta (baju merah) yang dikatakan melanggar Siti Nurul Masyitah Elias.

“Mangsa sering berulang alik dari Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.”

“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan menjalani rawatan dialisis.”

“Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” kata kenyataan itu hari ini.

Siti Nurul Masyitah merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 melalui acara berkayak perahu naga.

Pemandu kereta (baju merah) yang dikatakan melanggar Siti Nurul Masyitah Elias.

Berdasarkan hantaran yang tular dalam media sosial, dapat dilihat beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat ‘peace’.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Kenyataan media berkaitan kes ini akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini