comscore
Tumpuan :
Artikel

Pengawal keselamatan ‘kawalan meragukan’

Komuniti mengharapkan mereka menjaga keselamatan kawasan, tetapi hisap dadah pula!

Itu yang dilakukan empat pengawal keselamatan yang menjadikan pos pengawal di sebuah kondominium di Bandar Baru Ampang sebagai markas penyalahgunaan dadah.

Kesemua mereka diberkas oleh pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dalam satu operasi baru-baru ini.

Polis turut merampas beberapa peralatan bekas plastik serta corong kaca yang digunakan suspek untuk melepaskan gian.

Ketika disoal, seorang daripada suspek yang berusia 39 tahun mendakwa yang kononnya tindakan menghisap dadah tidak memberi kesan terhadap prestasi kerja sebagai pengawal keselamatan.

“Memang kami jaga keselamatan. Ambil dadah kadang-kadang 2 hari sekali. Tidak ganggu kerja, bahagian keselamatan kami punya peranan,” katanya.

Susulan itu, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan siasatan dijalankan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, program 999 turut memaparkan pendedahan hasil Op Burung Hantu yang bertujuan memantau pengawal keselamatan yang ditugaskan di beberapa premis berpagar sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang individu yang bertugas sebagai penyelia pengawal keselamatan antara yang dikesan mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah pada 2011.

Bagi pendedahan penuh operasi dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu, saksikan program 999 malam ini di TV3.

Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

Loading...
Terkini