comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara didakwa pukul adik ipar hingga patah tangan

Tertuduh, Hasnor nafi pukul adik ipar hingga patah tangan tahun lalu. FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan memukul adik iparnya dengan tongkat besi hingga menyebabkan kecederaan parah, November tahun lalu.

Tertuduh, Hasnor Jaafar, 53 didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang wanita, Khairal Ba’iza Ibrahim, 47 dengan menghayun tongkat besi ke arah mangsa hingga menyebabkannya patah tangan kiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu  di hadapan rumah No 9 Jalan CP 1/32 A Taman Cheng Perdana, Tanjung Minyak jam 5 petang, pada 8 November 2022 .

Tuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan jaminan, namun memohon syarat tambahan ditetapkan jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara bagi memberikan jaminan.

Sementara itu, Peguam, Mohamed Musthafa memohon jaminan dibenarkan dan tertuduh dilepaskan dengan jaminan rendah.

Beliau berkata, anak guamnya adalah bekas pengurus sebuah syarikat automobil yang terpaksa bersara awal akibat penyakit kencing manis kronik hingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya hampir dipotong.

Tertuduh katanya kini bekerja sambilan sebagai jurujual kenderaan dengan pendapatan RM4,000 sebulan serta menanggung dua isteri dan tujuh anak masih bersekolah berusia empat hingga 17  tahun.

Hakim Mohd Sabri Ismail membenarkan Hasnor dibebaskan dengan jaminan RM12,000 berserta seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa juga cara.

Sebutan semula kes pada 9 Mei depan bagi serahan dokumen.

Loading...
Terkini