comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian akan beri penjelasan isu pesara, kakitangan awam discaj dari IJN

Bangunan Institut Jantung Negara (IJN) – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa akan menjelaskan segera laporan yang mendakwa Institut Jantung Negara (IJN) telah dan sedang discaj semua pesara dan kakitangan awam susulan langkah penjimatan yang dilaksanakan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan yang mengambil sikap berdiam diri berhubung itu laporan itu sebaliknya berkata perkara itu akan dijawab segera oleh pihak kementerian.

Foto hiasan

“Kementerian Kesihatan, (atau) Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) akan segera memberikan jawapan. Ia tidak akan mengambil masa lama, Insya Allah,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.

Ia susulan laporan yang ditulis oleh seorang pesara perkhidmatan awam di sebuah laman web yang mendakwa dia telah kena discaj selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara itu yang enggan dikenali berkata puncanya kerana arahan kementerian bahawa semua kakitangan awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

“Saya membantah kerana masalah kesihatan yang dialami oleh saya sangat rumit; pakar kardiologi di IJN turut bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa mereka terikat dengan perintah kerajaan.”

“Malah saya juga baharu mengetahui bahawa nasib yang sama turut menimpa pesara dan penjawat awam lain di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Jelasnya, ini menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan rujukan baharu untuk dia kembali ke IJN serta membuat temu janji dengan IJN sebagai pesakit baharu.

Katanya keseluruhan proses mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan atau lebih dan pada masa sama beliau tidak pasti akan mendapat kembali pakar kardiologi kanan yang sama.

“Pastinya perlu ada sedikit akal dalam membenarkan pakar kardiologi IJN memilih siapa yang boleh dihantar semula ke pusat KKM dan siapa yang harus mereka simpan, kerana penyakit dan penjagaan mereka yang rumit,” katanya.

Sementara itu, jurucakap IJN ketika dihubungi NST berkata berdasarkan pekeliling pada September tahun lalu menyebut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memerlukan rujukan dari kerajaan, hospital swasta atau klinik bagi rawatan di IJN.

“Adalah penting untuk diketahui bahawa setiap agensi kerajaan mempunyai terma dan syarat kelayakan pekerja dan liputan ketika mendapatkan rawatan di IJN.”

“Ini juga selaras Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan 12/2002 – Panduan untuk Rawatan Lanjut di IJN bagi Pesakit Yang Dibiayai Kerajaan; pesakit perlu di discaj semula ke hospital rujukan 12 bulan selepas menjalani prosedur atau pembedahan,” katanya.

Tambahnya, ini dilakukan apabila pesakit memerlukan pengurusan dan rawatan susulan berterusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini