comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara MARDI Maut Diserang Perompak

Suspek melarikan diri mengikut tingkap di bahagian dapur selepas mendapatkan barang berharga. Foto: Ihsan PDRM

Bekas pengarah bahagian teknologi maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut, manakala isterinya cedera diserang perompak bersenjatakan parang dalam kes rompakan di kediaman pasangan itu di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di Bangsar awal pagi tadi.

Mangsa, Wan Hassan Wan Embong, 71 tahun, maut akibat mengalami kecederaan pada muka dan leher.

Manakala isterinya pesara guru cedera di bahu kanan.

Pihak polis menerima panggilan daripada anak mangsa berhubung rumah ibu bapanya dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan parang pada pukul empat pagi, sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata siasatan lanjut mendapati suspek telah masuk je rumah mangsa kira-kira jam 3.30 pagi.

Tambahnya, mangsa sebelum itu turun selepas terdengar bunyi bising di bahagian dapur.

Dia mendapati dua lelaki bersenjatakan parang dan tidak bertopeng berada dalam rumah dan meminta duit.

Mangsa kemudiannya cuba melawan sebelum dia ditetak.

Suspek melarikan diri mengikut tingkap di bahagian dapur selepas mendapatkan barang berharga.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya yang cedera parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

Polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini