comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru 3 penyamar kontraktor TM, seorang berjaya ditahan

Foto hiasan

BUKIT MERTAJAM: Polis memburu tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) dan mencuri kabel di Jalan Kampung Paya, Berapit, di sini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, seorang daripada ahli kumpulan itu berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, insiden disedari seorang pekerja TM yang melalui kawasan itu dan menghampiri empat lelaki berkenaan disebabkan curiga.

Katanya, ketika ditanya mengenai kerja yang dilakukan mereka, empat suspek bertindak melarikan diri sebelum pekerja TM sempat menahan seorang daripada mereka yang berusia lingkungan 20-an.

“Hasil semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala kejadian itu mengakibatkan TM kerugian kira-kira RM5,000.

“Polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 kanun Keseksaan dan mengesan suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, kegiatan empat lelaki itu tular di media sosial selepas video mengenainya dimuat naik pengguna X.

Loading...
Terkini