comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis gagalkan cubaan seludup dadah bernilai RM1.76 juta

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah selepas menahan dua  suspek termasuk warga  Indonesia dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.76 juta dalam tangkapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2).

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala A/P Subramaniam berkata, kedua-dua suspek tersebut yang berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan menerusi usaha sama pihak polis bantuan KLIA bersama unit siasatan jenayah narkotik pada jam 4 pagi, 22 April lalu.

“Hasil tahanan tersebut, polis turut merampas 7,000 gram dadah jenis Methamphetamine, pil Eramin 5 dengan anggaran berat 5,950 gram serta pil Ekstasi, 61 gram yang dijumpai di dalam beg sandang dan bagasi kepunyaan kedua-dua suspek.

“Tahanan kedua-dua suspek ini dilakukan selepas polis bantuan mencurigai balutan bagasi yang digunakan suspek ketika ingin melepasi mesin pengimbas bagasi, kata Sasikala.

Menerusi tangkapan ini, satu serbuan dilakukan di sebuah kondominium di Sri Kembangan dan berjaya merampas 9,000 gram pil Eramin 5 dan 169.55 gram Ketamine dan dadah ini dipercayai untuk dipasarkan di Sarawak.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek warga tempatan tersebut mempunyai 4 rekod lampau kesalahan dadah iaitu dibawah 1 rekod dibawah seksyen 39B dan 3 rekod dibawah seksyen 15(1) ADB 1952”
ujar Sasikala ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Selangor.

Sasikala turut memaklumkan, tindakan pelucuthakan harta dibawah Akta Dadah Berbahaya dilakukan selepas pihak polis menyita aset-aset sindiket ini yang dianggarkan bernilai RM31,077 yang merangkumi barangan kemas bernilai RM25,600, 2 utas jam tangan bernilai RM5,377 dan wang tunai berjumlah RM100.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama 7 hari mulai 22  hingga 28 April dibawah seksyen 117 kanun acara jenayah dan kes disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan, suspek akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini