comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penemuan puluhan bangkai kucing, polis masih buru suspek

Foto Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

PETALING JAYA : Polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini,  11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata,  laporan kejadian itu diterima 13 Mac lalu dan  kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan.

“Saya mengesahkan telah menerima laporan polis daripada pemilik rumah sewa berkenaan dan siasatan sedang dijalankan termasuklah mengenal pasti suspek terlibat,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Semalam Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menerusi  Facebooknya mendedahkan tentang penemuan puluhan rangka, organ dan bangkai kucing di dalam sebuah rumah yang disewa oleh seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Perbuatan itu terbongkar selepas jiran-jiran di kondominium berkenaan membuat aduan berhubung bau busuk dari rumah itu.

MAA menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan siasatan menyeluruh dan komprehensif berhubung perkara berkenaan.

Loading...
Terkini