comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerja pembersihan kebakaran Flat Sri Sabah selesai jam 8 pagi

Oleh: Aslina Abu Bakar

CHERAS: Kerja pembersihan sisa kebakaran oleh pihak Badan Pengurusan Bersama Flat (JMB) di sekitar Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras selesai pada jam 8 pagi tadi.

Hasil tinjauan Buletin TV3, kesemua mangsa lima buah rumah di tingkat 17 kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Cheras untuk sementara.

Dalam masa sama, aktiviti penduduk di Blok 70 Flat Sri Sabah berjalan seperti biasa di mana pergerakan keluar masuk penduduk setempat juga berjalan lancar.

Difahamkan, kerja-kerja memadam api kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengambil masa lima jam sepenuhnya, yang berakhir pada pukul 2 pagi tadi.

Lima balai bomba berhampiran ke lokasi dikerah untuk memadam kebakaran iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Bandar Tun Razak, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak, BBP Sri Hartamas dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bintang, PBS Desa Petaling dan PBS Gombak.

Terdapat seorang mangsa wanita warga emas 62 tahun mengalami sesak nafas namun kini berada dalam keadaan stabil.

Tambah Bomba, kelima-lima rumah itu terbakar sebanyak 85 hingga 97 peratus dengan keluasan rumah 800 kaki persegi.

Dimaklumkan pihak bomba dan unit Forensik dijangka tiba ke lokasi kejadian untuk siasatan terperinci.

Menurut laporan awal, kegagalan sistem pemadaman di lokasi menyebabkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat sukar untuk memadamkan kebakaran dengan lebih awal dalam kejadian malam tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini