comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis minta orang awam kongsi maklumat aktiviti pemerdagangan manusia

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Deputi Komisioner Fadil Marsus. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru masyarakat di negara ini untuk berkongsi maklumat tentang sebarang aktiviti yang dirasakan mempunyai elemen pemerdagangan manusia atau eksploitasi buruh paksa.

Mangsa pemerdagangan manusia di negara ini terdiri daripada golongan rentan atau yang mudah diperdaya seperti warga emas, wanita, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, terdapat pelbagai jenis bentuk eksploitasi dilakukan terhadap golongan ini.

“Antaranya adalah mereka (mangsa) terikat dengan hutang terhadap individu atau ejen yang memperdayakan mereka di negara ini selain turut diperdayakan oleh ejen atau sindiket di negara asal mereka.

“Golongan ini sebaik tiba di Malaysia, mereka yang dijanjikan pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan sebaliknya akan dipaksa menjadi buruh paksa, dipaksa menjadi pengemis dan peminta sedekah, menjadi hamba seks, tidak dibenarkan bertemu orang lain, dikurung di tempat kerja serta tinggal di tempat yang tidak kondusif,” katanya.

Fadil berkata ada antara mangsa-mangsa ini turut diancam dengan pelbagai ugutan dan ancaman sama ada daripada majikan, ejen atau penjaga mereka termasuk akan dicederakan sekiranya tidak melakukan apa sahaja yang diarahkan.

“Situasi ini adalah sama dengan mana-mana rakyat Malaysia yang diperdayakan di luar negara dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

“Justeru apa yang kita (pihak polis) harapkan daripada masyarakat adalah untuk melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan pemerdagangan manusia kepada pihak polis,” katanya.

Beliau juga turut mengulas tentang tindakan segelintir pihak membabitkan majikan atau ejen kepada warganegara asing yang menyimpan dokumen pengenalan diri warga asing terbabit.

“Dalam situasi ini sekiranya ada individu yang memegang dokumen perjalanan diri atau pasport milik mana-mana individu maka ianya adalah menjadi satu kesalahan namun siasatan lanjut akan dijalankan jika tujuan dokumen itu disimpan adalah bagi mengelakkan mereka (warga asing) melarikan diri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini