comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas pil kuda, heroin bernilai hampir RM400,000

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Polis merampas empat kilogram pil kuda dan 33.12 gram heroin bernilai RM384,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Datu, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang dipercayai bekerja sebagai penjaga stor dadah berkenaan.

Beliau berkata lelaki terbabit yang juga penganggur dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak Disember tahun lepas dengan upah RM2,000 sebulan.

“Selain dadah, polis turut menyita sebuah motosikal Y15 bernilai RM12,000 dan wang tunai RM240.

“Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai penjaga stor kepada ‘tokan’ dadah bermula Disember lepas. Suspek tinggal di rumah neneknya sejak berusia empat tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Azli berkata dengan rampasan itu, pihaknya percaya berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Kuala Terengganu yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

“Lelaki berkenaan direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis juga sudah mengenal pasti beberapa ahli sindiket lain dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini