comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis sita harta, bekukan akaun bank RM9.72 juta milik sindiket dadah terbesar di Sabah

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan gambar suspek pada Sidang Media Timbalan Ketua Polis Negara di Menara Bukit Aman. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyita pelbagai jenis hartanah, kenderaan mewah, barangan kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM9.72 juta milik sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah yang ditumpaskan baru-baru ini.

Kesemua harta itu disita dan dibekukan susulan penahanan 11 ahli sindiket itu yang digelar Geng Upik termasuk dalang utamanya yang bergelar Datuk.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan itu diambil menerusi Op Morava oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Menurutnya, sebanyak 42 akaun dibekukan bagi tempoh 27 Disember sehingga 19 Januari lalu termasuk lapan akaun baharu yang dibekukan dengan keseluruhannya bernilai RM1.86 juta.

“Kita turut membekukan 10 jentera dan 11 bidang tanah dengan keseluruhan bernilai RM2.81 juta.”

Kenderaan polis yang membawa anggota kartel dadah terbesar di Sabah termasuk dalang utamanya seorang ahli perniagaan dan penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk tiba di perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu semalam.

“Selain itu, sebanyak 20 kenderaan dianggarkan bernilai RM6.77 juta, wang tunai RM35,041 dan barang kemas bernilai RM100,000 disita PDRM,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Pada sidang media pada 8 Januari lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata sebanyak 22 akaun bank telah dibekukan membabitkan nilai RM420,000 manakala 18 kenderaan disita bernilai RM6.6 juta yang kebanyakannya kenderaan mewah dipercayai daripada suspek Geng Upik.

Dalam sidang media itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya turut merampas wang tunai RM35,000 serta barang kemas dan jam mewah dianggarkan bernilai RM100,000.

Buletin TV3 semalam melaporkan seramai 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.

Lelaki itu dikatakan turut menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haramnya sejak 2015.

Bermula daripada aktiviti berkaitan kontraban, dia mengembangkan kegiatannya kepada rangkaian dadah terbesar di Filipina dan Indonesia.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini