comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan tiga suspek termasuk dua warga emas bantu siasatan kes gaduh

BALIK PULAU: Tiga suspek lelaki termasuk dua warga emas ditahan pihak berkuasa semalam susulan kes pergaduhan membabitkan pelanggan dan penghantar makanan di sebuah restoran Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP, Jafri Md Zain penahanan susulan video yg tular dikongsi pengguna media sosial.

Tambahnya kejadian pergaduhan dipercayai berlaku sekitar jam 2.00 petang semalam.

Aduan diterima daripada seorang lelaki berusia 66 tahun, iaitu kira-kira setengah jam selepas pergaduhan berlaku.

“Menurut lelaki warga emas itu, pergaduhan melibatkan dia dan rakannya berusia 68 tahun dengan seorang penghantar makanan di hadapan restoran tersebut, kejadian menyebabkan mereka mengalami kecederaan di kepala serta badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya satu laporan polis turut diterima daripada penghantar makanan pada jam 9.00 malam semalam.

Justeru pihaknya turut menjalankan siasatan lanjut, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Katanya lagi susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki berusia 44 hingga 68 tahun bagi membantu siasatan.

Kes turut disiasat mengikut 324 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu, sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Loading...
Terkini