comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga penyamun dicari polis

Foto tular

SHAH ALAM: Tiga suspek lelaki meragut rantai leher seorang lelaki warga emas, dalam satu kejadian di kawasan perumahan Bukit Kemuning, pagi Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, polis menerima laporan dibuat mangsa, 67, yang memaklumkan kejadian terbabit berlaku 10.29 pagi berkenaan.

“Siasatan mendapati, tiga suspek lelaki dipercayai menaiki dua buah motosikal ke rumah mangsa dengan berpura-pura untuk membeli rokok.

“Ketika mangsa diminta menukar dengan jenis rokok yang lain, salah seorang suspek meluru ke arah mangsa dan meragut rantai leher yang dipakai dan terus melarikan diri.

“Mangsa cuba menahan suspek dengan menarik baju namun gagal dan menyebabkannya mengalami kecederaan di lengan, lutut dan kaki kerana terjatuh akibat diseret oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramsay berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang berumur 20-an hingga 30-an sedang giat dijalankan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand di talian 03-5520 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu video yang memaparkan sekumpulan lelaki yang dikatakan meragut rantai emas milik seorang lelaki di kawasan perumahan Bukit Kemuning.

Loading...
Terkini