comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pukul Penguat Kuasa, Peniaga Direman 3 Hari

Oleh Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga direman tiga hari bermula hari ini hingga 8 September bagi membantu siasatan kes seorang pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang dipukul dua hari lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Johor Bahru, R. Salini selepas menerima permohonan polis.

Perintah reman dikeluarkan mengikut seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh berumur 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.15 petang semalam, selepas pegawai penguat kuasa berkenaan membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek ketika menyita sebuah kedai makan, di Taman Pelangi, Johor Bahru yang tidak mempunyai lesen.

Pegawai penguat kuasa terbabit cedera dibahagian muka dan lutut kiri akibat ditumbuk.

Difahamkan suspek yang juga pengurus kedai itu tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai penguat kuasa yang menyita barangan dalam kedai tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 332, Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 3 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini