comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM90,000 lesap ditipu beli kereta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berputih mata selepas wang pembayaran untuk membeli kereta bernilai RM90,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan urusan jual beli kereta.

Mangsa yang berusia 36 tahun itu ditipu ketika dalam proses membeli sebuah kereta Honda jenis HRV melalui seorang ejen jualan kereta.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki warga tempatan berkaitan tipu urusan jual beli kenderaan.

“Mangsa memaklumkan berurusan dengan seorang lelaki tempatan yang mendakwa bekerja sebagai ejen jualan di sebuah syarikat kenderaan terkemuka yang terletak di Jalan Damansara, di sini, 9 Januari lalu.

“Ketika itu, mangsa sudah membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran berkenaan sudah diserahkan kepada pihak syarikat.

“Pada 29 April hingga 4 Mei pula mangsa membuat pembayaran wang secara tunai bernilai RM70,000 dan pindahan dalam talian sebanyak RM20,000 ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, namun pada 11 Mei mangsa menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima bayaran pendahuluan.

Katanya, mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka.

“Suspek bagi kes ini sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang di jalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya,” katanya.

Loading...
Terkini