comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sanggup buat laporan palsu untuk tuntut insurans

Foto hiasan

PETALING JAYA: Cubaan pemilik kedai aksesori kereta menuntut pampasan insurans selepas mendakwa premisnya di Dataran Mentari, di sini dipecah masuk penjenayah gagal selepas siasatan polis membongkar kejadian sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 39 tahun itu pada jam 1.09 tengah hari kelmarin yang mendakwa mengalami kerugian anggaran RM600,000.

Katanya, sepasukan anggota melakukan siasatan di tempat kejadian dibantu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan menyemak kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, semakan dibuat mengesahkan tiada kejadian pecah kedai sebagaimana yang dilaporkan oleh pengadu.

“Hasil soal siasat, pengadu mengaku kejadian pecah kedai tidak berlaku dan tujuan laporan polis dibuat adalah untuk tuntutan insurans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, satu laporan polis dibuat terhadap pengadu mengenai pengakuan yang dibuat dan kertas siasatan dibuka kerana membuat laporan palsu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.

“Ingin ditegaskan bahawa jangan sesekali membuat laporan polis palsu bagi kepentingan diri sendiri untuk mengelirukan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan adil dan telus kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap pesalah yang melakukan kesalahan itu dan akan mendakwa pesalah di mahkamah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03- 79662222,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini