comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seludup dadah, rakyat Malaysia berdepan hukuman penjara seumur hidup di Australia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia berdepan hukuman penjara seumur hidup, selepas ditahan pihak berkuasa Australia berhubung rampasan dadah seberat 622 kilogram di Melbourne pada 12 Oktober lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din hukuman itu berdasarkan undang-undang ditetapkan negara terbabit.

“Subjek (suspek) sudah dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 307.5(1) Kanun Jenayah: Percubaan Untuk Memiliki Kuantiti Komersial Dadah Kawalan Sempadan.

“Hukuman kesalahan boleh membawa kepada penjara seumur hidup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSJN sedang bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) bagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu.

“Kerjasama antara JSJN dan AFP akan diteruskan dalam usaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terbabit,” katanya.

AFP dalam satu lagi kenyataan, pada 12 Oktober lalu mendedahkan penahanan empat lelaki termasuk seorang warga Malaysia, berkaitan rampasan dadah methamphetamine dalam sebuah kontena.

Kontena itu baru tiba di Melbourne melalui kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau, dengan setiap satu seberat satu kilogram yang disembunyikan dalam palet gulungan kertas tandas.

Dadah dianggarkan hampir AUD$560 juta (RM1.7 bilion) dan tangkapan terdiri daripada dua warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia, 34, serta warga Hong Kong, 32, ditahan.

Dua daripada lelaki itu ditahan di lapangan terbang ketika cuba meninggalkan Australia secara berasingan.

Mohd Kamarudin dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, petang tadi memaklumkan polis sudah mengenal pasti beberapa rakyat tempatan yang dipercayai terbabit sindiket menguruskan penyeludupan dadah ke Australia itu.

Kata beliau, siasatan mendapati, dadah berkenaan diseludup masuk ke negara ini dari kawasan Segi Tiga Emas dan bukan dihasilkan dalam negara.

Katanya, dadah itu dibungkus semula di negara ini sebelum dihantar ke negara berkenaan (diseludup ke Australia dengan jalan laut).

Pihak polis juga, katanya sudah mendapat maklumat dari pihak berkuasa Australia dan fokus siasatan sekarang adalah mengenal pasti sindiket dadah yang menyeludup dadah berkenaan.

Loading...
Terkini