comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu kasino Forest City: Ketua Pengarang sebuah portal bahasa Inggeris akan diambil keterangan Isnin ini

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakam keterangan Ketua Pengarang sebuah portal berbahasa Inggeris, Isnin ini, berhubung penerbitan artikel bahawa projek kasino dipertimbangkan untuk Forest City di Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan itu dilakukan susulan laporan polis dibuat peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang turut dikaitkan dalam artikel itu.

Menurut Razarudin, individu terbabit dipanggil ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman pada 11 pagi.

“Berdasarkan laporan, artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan,” kata Razarudin.

Jelas Razarudin, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata polis juga akan merakam keterangan beberapa individu lain termasuk Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay berhubung perkara itu.

Menurutnya, pihak USJT sudah menghubungi mereka untuk menetapkan tarikh bagi proses rakaman keterangan berkenaan.

Bulan lalu, agensi berita Bloomberg mendakwa kerajaan mempertimbang meluluskan projek kasino di Forest City dan Vincent Tan serta Lim Kok Thay terbabit dalam perbincangan dengan pihak kerajaan.

Laporan itu disifatkan fitnah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Johor dan dua ahli perniagaan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini