comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sembilan individu ditahan, pindah diesel bersubsidi ke kapal

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di tepi Sungai Santi, Pengerang. -FOTO: Ihsan PDRM

KOTA TINGGI: Polis menahan sembilan lelaki ketika melakukan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi di Kompartment 35, Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, semua individu itu didapati memindahkan diesel berkenaan dari dua lori tangki, yang dipam masuk ke dalam tangki sebuah kapal.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, bertindak atas maklumat risikan pencerobohan di hutan simpan itu, sepasukan anggota Jabatan Perhutanan Johor melakukan serbuan di tepi sungai berkenaan sebelum menemui sembilan individu berkenaan.

“Ketika serbuan, tiga lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing yang berusia antara 20-an hingga 50-an sedang menjalankan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi itu.

“Pemeriksaan mendapati semua tangkapan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Semakan ke atas enam lelaki warga asing itu juga mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

“Kesemua mereka juga tidak mempunyai permit memasuki hutan simpan berkenaan dan kita percaya mereka sedang menyeludup diesel berkenaan ke luar negara melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan Jabatan Perhutanan Johor berjaya merampas 150,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki kapal dianggarkan bernilai RM322,500.

Keseluruhan nilai rampasan membabitkan dua lori tangki, sebuah generator, sebuah motosikal serta sebuah kapal termasuk diesel berkenaan dianggarkan bernilai RM1,714,800.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini