comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Sindiket eksploitasi seks tumpas, lima ditahan

SUBANG: Sindiket pemerdagangan manusia untuk eksploitasi seks, lumpuh dengan penahanan lima warga asing, termasuk tiga wanita warga Indonesia yang juga dalang utama dan bertindak sebagai ejen sindiket itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Thailand (RTP) menangkap dalang terbabit bersama dua pekerja lelaki Indonesia berusia 30 hingga 39 tahun di sekitar Lembah Klang, pada 26 dan 29 Oktober lalu.

Susulan itu, katanya, empat wanita masing-masing dua warga Thailand dan Indonesia berusia lebih 18 tahun diselamatkan dan ditempatkan di pusat perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara (IPO).

“Kita terima maklumat sindiket itu daripada polis Thailand pada awal Oktober. Kita mengambil tindakan susulan atas maklumat itu dan mengerahkan pasukan pada minggu ketiga Oktober yang membawa kepada penahanan semua suspek berkenaan.

“Sudah tentu PDRM dan RTP mempunyai kerjasama baik sejak sekian lama, malah ada buat mesyuarat bilateral yang disertai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan polis marin yang membincangkan isu keselamatan sempadan antara kedua-dua negara.

“Banyak maklumat dikongsi mengenai sindiket itu yang membawa kepada penahanan semua suspek dalam tempoh singkat,” katanya pada sidang media tangkapan dan penyerahan tiga orang dikehendaki kepada RTP di balai pelepasan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Thailand, Deputi Komisioner Jeneral Surachate Hakparn.

Ditanya identiti suspek, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak mendedahkan perkara itu kerana akan mengganggu proses siasatan.

“Warga Thailand itu akan dihantar pulang mengikut akta imigresen bagi berdepan tindakan undang-undang di sana. Setakat ini, kita tidak memburu suspek lain dalam kes ini.

“Kita sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pasukan polis di rantau ini untuk mencegah kegiatan jenayah secara menyeluruh,” jelasnya.

Sementara itu, Surachate berkata, terdapat seorang remaja perempuan warga Thailand yang berusia 14 tahun menjadi mangsa sindiket itu.

“Untuk makluman hasil kerjasama PDRM dan RTP berjaya menyelesaikan kes sindiket pemerdagangan manusia yang merentasi sempadan.

“Dalang terbabit memasuki Malaysia bagi menjalankan aktiviti pelacuran. Sindiket ditumpaskan selepas RTP menyalurkan maklumat berkaitan pemerdagangan manusia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini