comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket penipuan pelaburan didakwa guna nama, logo sebuah syarikat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah syarikat membuat laporan polis mendakwa skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’ menggunakan nama dan logo syarikatnya untuk tujuan promosi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengadu terbabit menafikan pengetahuan mahupun pembabitan syarikatnya dengan skim pelaburan terbabit.

“Semakan dilakukan mendapati tiada laporan polis diterima daripada mana-mana individu yang menjadi mangsa skim pelaburan berkenaan setakat ini.

“Justeru itu, pihak polis menggesa mana-mana individu yang menyertai skim pelaburan berkenaan untuk tampil membuat laporan polis dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, masyarakat diingatkan supaya tidak mempromosikan pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat dalam usaha membendung kegiatan penipuan.

“Semakan terperinci dengan agensi kerajaan berkaitan perlu sentiasa dilakukan sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan tertentu.

“Dapatkan nasihat serta maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, portal Semak Mule, senarai amaran Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan meragukan,” katanya.

Loading...
Terkini