comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket penyeludupan senjata api, dadah tumpas di Johor

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan senjata api dan pengedaran dadah apabila lapan suspek ditahan susulan dua ahlinya yang ditembak mati di Taman Abad di sini, pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, selepas kejadian berbalas tembakan itu, pada hari yang sama sepasukan polis membuat tiga serbuan di inap desa serta pangsapuri dekat kawasan Wadihana, Kempas Utama dan Taman Abad.

Beliau berkata, dalam serbuan di tiga lokasi itu, polis menahan tujuh warga tempatan iaitu empat lelaki dan tiga wanita serta seorang wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Polis merampas tiga pistol, empat objek menyerupai pistol, 141 peluru hidup, pisau, gari dan pelbagai peralatan polis selain bahan disyaki dadah serta kad kuasa polis palsu.

“Kad kuasa polis itu atas nama salah seorang suspek yang ditembak mati. Mereka menggunakan kad kuasa polis itu untuk aktiviti penyeludupan senjata api dan pengedaran dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Pada 14 Jun lalu, dua penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan pada jam 5.04 petang di Jalan Abad, Taman Abad di sini.

Suspek berusia 40 dan 42 tahun mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dan kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori mereka.

Mengulas mengenai kejadian itu, Kumar berkata, apabila menyedari mereka diekori dan selepas diberi arahan untuk berhenti, suspek melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat sebelum berbalas tembakan.

Katanya, penjenayah yang maut dan berusia 42 tahun dipercayai ketua sindiket dan mempunyai 38 rekod lampau jenayah dan dadah, manakala seorang lagi yang maut mempunyai lima rekod lampau kes dadah.

“Ketika pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek yang ditembak, kita menemui tiga senjata api dan 28 butir peluru serta beberapa bahan disyaki dadah berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan senjata api yang dirampas daripada dua suspek yang mati ditembak dan menerusi tiga serbuan itu adalah enam pistol dan 167 peluru hidup manakala jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM96,082.

Katanya, semua dadah yang dirampas adalah syabu seberat 99.76 gram (g), pil eramin 5 (50.50g), ganja (1,126.13g), serbuk ekstasi (50.49g), heroin (49.66g), pil yaba (198.61g) dan pil ekstasi (249.88g).

Sementara itu, Kumar berkata, tiga daripada tujuh warga tempatan yang ditahan dalam tiga serbuan itu mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah, manakala tiga yang lain mempunyai rekod dadah.

“Siasatan lanjut pihak polis mendapati salah satu senjata api yang dirampas daripada penjenayah yang ditembak mati adalah berpadanan dengan senjata digunakan dalam satu kejadian tembakan menyebabkan kematian seorang lelaki tempatan di Taman Pelangi di sini, pada 20 Mac tahun lalu,” katanya.

Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penaliti Lebih Berat) 1971; Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960; Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; Seksyen 89 Akta Polis 1967; Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini