comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sorok syabu di kawasan paya bakau

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: 18 bungkusan teh mengandungi dadah jenis syabu dirampas di Parit Jawa, Muar, 6 Oktober lalu.

Dadah terbabit disorokkan dalam kawasan paya bakau.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan itu dibuat anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Johor selepas membuat intipan dan risikan.

“Selepas mendapat maklumat daripada orang awam, kita menjalankan pemerhatian dari jam 1 petang hingga 3 petang di kawasan berkenaan.

“Selepas tiada pihak yang tampil di lokasi, kita kemudian bertindak merampas berkenaan kerana ditinggalkan terbiar.

“Dadah yang dirampas adalah 18 bungkusan teh Cina seberat 19,768 gram bernilai RM652,344.

“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 98,840 penagih, jika ia terlepas ke pasaran dan kita percaya bahawa dadah ini didalangi sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha mengesan suspek yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

Loading...
Terkini