comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penghantar makanan mengaku tidak bersalah cabul remaja dalam kereta 

FOTO: NSTP

MUAR: Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan remaja perempuan bawah umur dalam sebuah kereta, awal bulan ini.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Muhammad Firdhaouz Irsyad Muhammad Faisal, 25, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 14 tahun dalam kereta di sekitar Jalan Abdul Rahman menuju ke Parit Jawa di sini, antara 2 hingga 4 pagi, 4 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a), 14 (b) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Ketiga-tiga seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan mohon mahkamah supaya tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu amat serius kerana membabitkan mangsa bawah umur.

“Jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan supaya tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 terhadap kesemua pertuduhan,” hujahnya.

Namun, permohonan itu dibantah pihak pembelaan sebaliknya memohon mahkamah memberi kebenaran kepada anak guamnya dengan ikat jamin paling rendah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap awal bulan selain tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan tertuduh atau keluarganya.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen daripada pihak pendakwaan.

Loading...
Terkini