comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] SPRM Siasat Menteri Besar Isu REE

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang Menteri Besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang dipercayai dilakukan secara tidak sah serta menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Negeri.

Menurut sumber, isu perlombongan haram dan kerugian hasil bumi itu telah diadukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan pada bulan Mac 2023 lalu dan penduduk di kawasan Bukit Enggang Sik yang mana kerja-kerja perlombongan haram dibuat secara besar-besaran sebelum ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

FOTO: NSTP

Pada Januari 2023, UMNO Kedah juga pernah mengesa SPRM untuk menyiasat dan mendedahkan hasil siasatan samada terdapat campur tangan politik dalam isu kecurian REE yang mendatangkan kerugian besar kepada negara.

Dalam pada itu, baru-baru ini, beberapa orang individu pula telah tampil dan membuat aduan rasmi kepada SPRM bagi menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah melibatkan seorang Menteri Besar hasil daripada satu surat viral berkaitan permohonan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri yang kononnya bagi projek usahasama antara Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat tempatan dan syarikat daripada China.

Tambah sumber, difahamkan SPRM Kedah pernah membuka kertas siasatan berhubung isu perlombongan haram REE ini pada awal 2023 dan dikatakan telah memanggil beberapa orang saksi namun tidak diketahui sejauh mana kertas siasatan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan bahawa beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Ini termasuk kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM Kedah pada Mac 2023 lalu.

Namun beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah SPRM akan memanggil Menteri Besar terbabit dalam masa terdekat.

Loading...
Terkini