comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek larikan kereta dari valet KLCC khayal syabu

KUALA LUMPUR: Suspek yang melarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V dari parkir valet pusat beli-belah Suria KLCC didapati berada dalam keadaan khayal.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata ujian saringan air kencing lelaki berusia berusia 58 tahun itu didapati positif dadah jenis syabu.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati lelaki itu di bawah pengaruh dadah. Suspek akan dituduh di Mahkamah esok mengikut Seksyen 51(A) dan 379A Kanun Keseksaan,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki ditahan tidak sampai dua jam selepas melarikan sebuah SUV jenis HR-V dari parkir valet Suria KLCC, Ahad lalu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas pemilik kereta berusia 31 tahun menyerahkan kenderaan berkenaan kepada penjaga valet di pusat beli-belah terbabit pada 12.48 tengah hari.

Tidak lama kemudian SUV berkenaan dikesan di sekitar USJ1 di Subang Jaya, Selangor sebelum ditahan anggota kenderaan peronda polis (MPV) jam 2.35 petang hari sama.

Sebelum itu kejadian berkenaan tular selepas satu hantaran di muat naik oleh seorang pengguna media sosial mendakwa kereta miliknya hilang selepas diserahkan kepada valet semasa dia singgah di pusat beli-belah terbabit.

Lelaki itu mendakwa kereta SUV terbabit dikesan berada di sekitar Subang Jaya berdasarkan maklumat daripada peranti sistem kedudukan sejagat (GPS) yang terpasang pada kenderaan itu.

Susulan itu pusat beli-belah Suria KLCC mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu dan memberi jaminan melancarkan siasatan secara menyeluruh di samping akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini