comscore
Tumpuan :
Jenayah

Taktik reka tangki khas sorok diesel subsidi tak menjadi

TANJONG KARANG: Taktik nelayan Myanmar ubah suai bot nelayan dengan dilengkapi tangki khas bagi membolehkan diesel subsidi disorok sebelum dijual kepada pihak ketiga terbongkar.

Kegiatan haram itu dikesan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor selepas menahan sebuah bot di Kuala Sungai Burung, di sini, kelmarin.

Timbalan Pengarah Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, terdahulu pihaknya mengesan bot berkenaan yang melakukan aktiviti mencurigakan sekitar jam 2 petang.

“Pemeriksaan awal mendapati bot nelayan itu dikendalikan empat warga Myanmar berumur lingkungan 29 hingga 50 tahun.

“Turut ditemui dua tangki yang diubah suai di atas dek dan bahagian kemudi berisi lebih 2,000 liter minyak diesel,” katanya semalam.

Mohd Sharenliza berkata, pemeriksaan dokumen mendapati bot itu melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

“Hasil soal siasat mendapati semua suspek dibayar gaji bulanan sebanyak RM 1,000 dengan komisyen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan. Turut ditemui kira-kira 500 kilogram ikan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini